Saturday 26 November 2016

ISU SEMASA (PEMERDAGANGAN MANUSIA)


Isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran merupakan isu yang kompleks dan melibatkan pihak-pihak yang berkepentingan. Memandangkan Malaysia merupakan destinasi popular di kalangan pekerja asing atas sebab ekonomi atau sebagai negara transit, kumpulan pekerja ini terdedah menjadi mangsa pemerdagangan seks dan buruh.

Menurut UN Convention Transnational Organised Crime (2000), penyeludupan ialah apabila seseorang memasuki sesebuah negara secara haram dengan melakukan pembayaran dalam bentuk wang atau faedah lain kepada pihak-pihak tertentu. Sementara itu, Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 pula mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi. Bagi pengertian eksploitasi pula Seksyen 2 telah mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia. Kebanjiran mangsa kes pemerdagangan manusia ini telah memberi implikasi negatif terhadap kedaulatan negara.

Implikasi yang wujud apabila nama negara terjejas di mata dunia. Seperti yang kita sedia maklum bahawa Malaysia berada di kedudukan 16 negara berprestasi buruk dalam mengekang isu pemerdagangan manusia. Keadaan ini menjadi semakin serius apabila Malaysia telah dilabel sebagai negara transit dan negara destinasi bagi kes pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara. Sehubungan dengan itu juga Malaysia telah di letak pada tahap Tier 2WL oleh PBB akibat daripada peningkatan kes pemerdagangan manusia. Hal ini menunjukkan bahawa negara gagal atau lemah dalam mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang. Keadaan ini mungkin menyebabkan negara akan dilabel sebagai sarang jenayah. Ia juga memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negara.

Selain itu, ia mengancam keselamatan negara. Hal ini menyebabkan jenayah semakin berleluasa dan mengancam keselamatan negara terutama kanak-kanak dan wanita yang diperalatkan bagi tujuan tertentu seperti perlacuran, peminta sedekah, pusat hiburan, rumah urut dan sebagainya. Perbuatan ini dilakukan oleh sindiket atau mereka yang terlibat dalam erti kata untuk mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan bagi tujuan tertentu.

Seterusnya, pemerdagangan manusia ini memberi impak yang negatif apabila hubungan diplomatik antara negara-negara Asia khasnya terjejas. Pemerdagangan dan penyeludupan manusia melanggar hak-hak asasi sesebuah negara dan isu-isu yang berlaku boleh menjejakan hubungan diplomatik antara negara. Hal ini termasuklah apabila wujudnya isu-isu yang mana berlaku penderaan ke atas pembantu rumah sehinggakan berlakunya pembunuhan adalah antara isu yang kritikal. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara negara yang terlibat.

Implikasi yang lain apabila wujud dan bertambahnya masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Masalah sosial yang bertambah dan merebak seperti pelacuran, berpeleseran, lahirnya anak luar nikah , seks bebas dan sebagainya. Hal ini menyebabkan penularan penyakit berbahaya seperi tibi, HIV, AIDS, dan penyakit-penyakit berjangkit lain. Akibat daripada itu masalah sosial merebak ke seluruh lapisan masyarakat ini boleh melumpuhkan generasi muda masa hadapan. Keadaan ini memberi impak yang negatif terhadap pembangunan negara.



Kesimpulannya, aktiviti pemerdagangan manusia ini dianggap sebagai satu aktiviti universal yang wujud di satu-satu negara. Rentetan daripada masalah pemerdagangan dan penyuludupan manusia ini akan mempengaruhi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara kelak. 

No comments:

Post a Comment