Sunday 27 November 2016

ISU BEBAS (TANJAK)

Melayu merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Malaysia dengan mempunyai lebih dari 50% penduduk. Masyarakat melayu dikenali kerana sifat lemah-lembut dan budaya warisan seninya yang halus. Seringkali warisan melayu dikaitkan dengan alat muzik, adat resam, tarian, pakaian dan makanan tradisi. Seringkali juga apabila menyebut tentang warisan pakaian melayu dikaitkan dengan baju kurung, kain batik, songkok, kain pelekat dan baju melayu. Namun, kita lupa bahawa tanjak juga merupakan salah satu warisan busana tradisi kita. Kini, penggunaan tanjak tidak lagi menjadi pilihan dalam upacara keramaian melainkan bagi pengantin-pengantin lelaki pada hari perkahwinannya.  

Tanjak, destar atau tengkolok merupakan pakaian kebesaran Raja-raja Melayu kita semenjak beberapa kurun lamanya. Tanjak merujuk kepada kain yang penutupi kepala atau selubung yang dipakai oleh kaum lelaki pada zaman dahulu. Ia juga sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai adat istiadat bangsa melayu. Tanjak pada zaman dulunya digunakan untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas dan lipatan kain ini berubah mengikut peredaran zaman. Tanjak juga merupakan lambang status seseorang iaitu orang yang kaya sahaja mampu untuk menggunakan tanjak. Tanjak raja pula diperbuat daripada kain sutera yang dibeli dari China dan India manakala orang kebanyakkan menggunakan tanjak dari kain biasa.

Cara memakai tanjak adalah mengikut pangkat atau status sosial individu tersebut. Hal ini kerana, ia menandakan darjat, taraf, jawatan dan keturunan seseorang. Perbezaan pemakaiannya ialah dari segi bilangan lipatan dimana semakin tinggi tarafnya semakin banyak bilangan lipatan pada tanjak yang dipakai. Tanjak untuk raja juga pasti tinggi dan tajam dipenghujungnya kerana melambangkan darjat dan kuasanya. Tanjak untuk pendekar pula mempunyai ikatan yang kemas dan duduk tegap mencerminkan kegagahannya. Manakala, bagi keturunan kerabat DiRaja dan Raja, hujung tanjak diletakkan pada bahagian telinga sebelah kanan. Bagi orang kebanyakan pula, hujung tanjak diletakan tepat pada bahagian telinga sebelah kiri. Raja dan kerabat DiRaja akan memakai tanjak semasa upacara formal seperti istiadat keputeraan,  pengurniaan bintang dan darjat kebesaran, kemahkotaan, istiadat perkahwinan, istiadat permakaman dan seumpamanya.


Pemakaian tanjak memainkan peranan penting dengan mempamerkan kehalusan berpakaian, kisah dan latar belakang si pemakai. Misalanya, Tanjak Ketupat Makasar dan Anak Gajah Menyusu menceritakan darjat dan kedudukan seorang pembesar. Lipatan tanjak tersebut tidak boleh dipakai oleh orang yang sebarangan.  Apatah lagi jika tanjak dipadankan bersama set persalinan pakaian yang dianugerahkan dari istana. Kekemasan dan kehalusan tenunan diraja sudah cukup untuk menceritakan kedudukan pangkat dan kebesaran yang dimiliki. Seni mengikat tanjak juga bukan sekadar sembarangan sebaliknya ia dihasilkan mengikut kesesuaian sifat si pemakai. Seni mengikat ini mengikut kesesuaian keadaan yang akan digunakan oleh si pemakai.


Selain itu, warna pada tanah untuk kain tanjak juga dibuat berbeza dan mengikut kesesuaian majlis. Warna putih dan kuning adalah untuk sultan dan raja, ungu untuk anak raja dan undang luak dan merah untuk panglima perang. Warna hijau pula untuk datuk- datuk, biru untuk laksamana dan hitam untuk raja semasa adat, datuk dan pendekar. Kebiasaanya, warna kuning dipakai oleh raja dan sultan. Manakala, warna untuk majlis adat istiadat masih mematuhi tiga warna asas iaitu putih, kuning dan hitam. Warna untuk tanah kain juga memegang konsep yang sama iaitu warna yang tua adalah untuk orang tua, warna yang muda untuk si pemakai yang masih muda. 

No comments:

Post a Comment