Saturday, 26 November 2016

ISU BEBAS (MAKANAN SEGERA)



Makanan segera sudah tidak asing lagi dengan masyarakat di Malaysia hari ini khususnya golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak. Makanan segera adalah makanan tidak sihat yang mengandungi lemak yang tinggi dan kandungan nutrisi yang sangat rendah. Makanan segera juga sangat mudah dan cepat didapati, enak rasanya dan harga juga amat berpatutan. Saban hari media massa mengiklankan pelbagai jenis makanan segera yang dapat menarik minat penonton untuk mencuba rasa dan membeli. Oleh itu, makanan segera amat popular dan berjaya mengubah selera dan diet seimbang masyarakat kita pada hari ini selari dengan era moden yang mementingkan masa. Maka makanan segera menjadi pilihan memandangkan ia mudah didapati.

Walaubagaimanapun, dari segi kesihatan sebenarnya makanan segera banyak mendatangkan kesan negatif kepada pengambilnya. Individu yang selalu mengambil makanan segera sebagai alternatif pintas untuk mendapatkan makanan dengan segera akan mudah diserang penyakit darah tinggi dan buah pinggang. Hal ini kerana, kandungan bahan kimia dan serbuk garam di dalam perisa ‘monosodium glutimate’ yang digunakan di dalam makanan segera membahayakan kesihatan penggunanya. Ia juga dapat menyebabkan masalah kegemukan atau obesiti. Kandungan lemak dalam makanan segera sangat tinggi dan akan menyebabkan berat badan seseorang bertambah.

Makanan segera juga memberi kesan kepada tumbesaran seseorang. Makanan segera merupakan makanan yang tidak seimbang di mana ia cuma mengandungi lemak dan garam sahaja. Hal ini menyebabkan tumbesaran seseorang akan terganggu apabila seseorang itu mengambil makanan yang seimbang. Selain itu, apabila seseorang itu makan dengan banyak makanan segera maka berat badannya akan bertambah dan menyebabkan berat badan itu tidak sepadan dengan umurnya, perut pula menjadi buncit dan ini akan menyebabkan kerencatan tumbesaran tubuh seseorang. 

Bukan itu sahaja, makanan segera juga akan menyebabkan perubahan gaya hidup di mana ia dapat menghilangkan nilai ketimuran dalam diri masyarakat. Kebanyakan makanan segera berasal dari Barat. Apabila banyak golongan kanak-kanak dan remaja mengambil makanan segera dengan kerap maka hal ini akan menyebabkan anggapan mereka berubah. Mereka akan menganggap bahawa makanan Barat lebih berkhasiat dan sedap daripada makanan tempatan. Makanan segera juga dapat mengganggu emosi seseorang itu. Ahli sains mendapati bahawa ada kaitan antara makanan segera dengan perlakuan ganas. Makanan manis seperti kek dan donut akan menyebabkan ketidakseimbangan dan membahayakan kesihatan di mana ia akan menaikkan paras gula darah. Kenaikkan paras gula akan menyebabkan seseorang itu mudah letih dan mudah marah.

Bagi mengatasi kesan negatif yang akan berlaku pada diri seseorang yang suka mengambil makanan segera, beberapa langkah boleh dilakukan. Seseorang itu perlulah memngurangkan kuantiti dan kekerapan pengambilan dalam makanan segera. Untuk mengurangkan pengambilan makanan segera, seseorang itu boleh mengamalkan pemakanan yang berkhasiat mengikut piramid makanan.Ibu bapa perlu mengawasi dan tegas dalam mendidik anak-anak supaya tidak terlalu kerap mengambil makanan segera. Mereka yang suka mengambil makanan segera juga perlu melakukan banyak senaman. Senaman perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengelakkan daripada berlakunya obesiti dan kegemukan.

Kesimpulannya, kesibukkan masyarakat telah mendorong mereka untuk memilih makanan segera yang mudah didapati. Iklan dan promosi juga menarik minat pengguna untuk memilih makanan segera memandangkan ia sedap dan harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Walaubagaimanapun, sedar atau tidak sebenarnya makanan segera banyak memberi kesan kepada kesihatan kita iaitu obesiti, mudah diserang jantung, kerencatan tumbesaran tubuh badan dan  menganggu emosi. Oleh hal yang demikian, beberapa langkah perlulah diambil untuk mengatasi masalah ini iaitu ibubapa perlu memberi perhatian terhadap pemakanan anak-anak dan mendidik anak supaya tidak terlalu kerap memilih makanan segera. Individu itu sendiri juga perlu mengurangkan pemakanan segera dan makan makanan mengikut piramid makanan serta kerap melakukan senaman untuk terus sihat dan cerdas. 

No comments:

Post a Comment