Saturday 26 November 2016

ISU SEMASA (DADAH)


DADAH

Dadah didefinisikan sebagai ubat-ubatan yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit, mengurangkan simptom atau mengubahsuai prosess kimia di dalam badan manusia untuk tujuan tertentu. Dadah yang digunakan sebagai ubat-ubatan ialah seperti ‘paracetamol’ dan ‘antibiotic’. Kedua-dua jenis dadah ini dapat membantu menyembuhkan manusia dari sakit-sakit ringan seperti demam, batuk, sakit kepala dan selesema. Dadah juga terkandung dalam minuman seperti teh, kopi, nescafe dan coklat yang dikenali sebagai ‘caffeine’. Dadah rangsangan seperti ini tidak akan mengakibatkan ketagihan yang bermasalah kepada individu yang menggunakannya, masyarakat dan negara. Lazimnya, masyarakat mengenali dadah sebagai sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada individu dari segi fizikal, mental, emosi dan tingkah laku apabila individu tersebut menyalahgunakan dadah. Individu yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan sukar untuk mengawal penggunaannya.

Oleh hal demikian, terdapat beberapa jenis dadah yang dilarang pengambilannya. Seperti yang telah disenaraikan oleh Kerajaan Malaysia dalam Akta Dadah Berbahaya 1952, penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, export, pemilikan dan penyalahgunaan dadah telah diharamkan dalam negara Malaysia. Pengharaman dadah juga telah dinyatakan dalam kitab suci Al-Quran dimana dadah dikaitkan dengan perkataan khamr yang membawa maksud haram semua bahan yang memabukkan dan menghilangkan akal. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 219 bermaksud: “Mereka bertnya kepada-Mu (Wahai Muhammd) tentang “al-khamr” dan ‘judi’. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia akan tetapi dosa keduanya itu lebih besar daripada manfaatnya”. 
Dadah yang mengandungi bahan kimia proaktif memberi kesan ketara keatas sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang. Ciri-ciri lain dadah ini ialah penggunaanya adalah bukan untuk tujuan perubatan dan didapati daripada sumber yang haram. Terdapat beberapa jenis dadah seperti yang berikut:

1)   Opiat

sumber:Google image
Dadah ini diperolehi daripada tumbuhan pokok popi. Getah dikeluarkan daripada buah popi lalu dikeringkan dan diproses menjadi dadah dalam kumpulan opiat iaitu candu, mofin dan heroin. Opiat dapat menidurkan dan melegakan kesakitan. Ia mempunyai potensi yang tinggi ketagihannya.
  
2)    Stimulan

sumber: google image
Stimulan ialah bahan kimia psikoaktif yang merangsang aktiviti sistem saraf pusat. Stimulan dapat meningkatkan kadar metabolisme badan dan menjadikan seseorang lebih aktif. Contoh dadah jenis ini ialah amfetamin dan kokain.


 
3)   Halusinogen

Sumber: google image
Ia adalah ubat- ubatan terjadual dibawah kawalan Kementerian Kesihatan.  DMT, PCP, meskalin dan LSD adalah dadah yang dikategorikan dibawah halusinogen. Kesan penyalahgunaan ubat- ubatan ini sukar dibuktikan.  Ia juga dapat menyebabkan kegilaan dan kematian. Ubat-ubatan ini amat popular disalahgunakan oleh golongan ‘hippies’ pada tahun 1960-1970. Kini ia digunakan oleh kebanyakan penagih di negara-negara barat.


4)   Ganja

Sumber: Google image
Pokok ini berasal dari kawasan beriklim panas seperti Asia, Mexico, Afrika dan Timur Tengah. Ia merupakan bahan yang sangat kompleks dan mengandungi sekurang-kurangnya 421 jenis bahan kimia. Bahan kimia psikoaktif utama yang digunakan dalam dadah jenis ini ialah THC.


 
5)   Depresen
Sumber: Google image

Contoh dadah jenis ini ialah ubat depresen, alkohol, GHB dan ketamin. Ubat depresen ini akan bertindak dalam sistem saraf tunjang manusia untuk memperlahankan atau menghentikan fungsi-fungsi tubuh.


Rajah dibawah menunjukkan analisis penyalahgunaan dadah dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2009. Berdasarkan rajah dibawah, sebahagian besar penagih dadah adalah daripada golongan belia iaitu dalam lingkungan umur 19 tahun ke 39 tahun.
 

Daripada rajah tersebut dapat kita simpulkan bahawa mungkin golongan belia ini yang menyalahgunakan dadah kerana pengaruh dari rakan sebaya, mencari ketenangan jiwa disebabkan oleh masalah yang berlaku dalam kehidupan mereka, masalah dan tekanan rumah tangga dan kurang pengetahuan agama serta penghayatan nilai murni. Selain dari itu, faktor-faktor lain yang mendorong individu tersebut mengambil dadah adalah kerana kurang kasih sayang dari ibu bapa, ingin mengetahui dan mencuba merasai dadah dengan sendiri dan mungkin juga individu tersebut berada dalam persekitaran dimana pengedar-pengedar dadah itu mempengaruhi pengguna baru.
Manakala, kesan-kesan daripada penyalahgunaan dadah dapat dilihat daripada empat sudut iaitu kesan kepada penagih itu sendiri, kesan kepada keluarga penagih, kesan kepada masyarakat dan kesan kepada negara penagih tersebut. Individu yang menagih dadah akan menjauhkan diri daripada masyarakat umum dan bergaul hanya antara kumpulan penagih dan pengedar dadah sahaja. Menagih dadah memberi kesan kepada fizikal individu tersebut. Penagih akan menjadi kurus, lemah tenaga, malas dan kelihatan seperti dalam khayalan. Daya tahan penyakit juga akan menjadi lemah dan mudah dijangkiti seperti kancing gigi, Hepatitis, Tibi, HIV/Aids dan maut.
Kesan penyalahgunaan dadah terhadap keluarga pula ialah ia dapat menjatuhkan maruah dan nama baik keluarga serta membebankan keluarga dari segi masa tenaga dan wang yang banyak untuk kos merawatnya. Antara kesan pengambilan dadah terhadap masyarakat pula ialah ia dapat mengancam ketenteraman awam, menjejaskan perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat serta berlaku permasalahan dalam masyarakat berkenaan penagih dadah. Akhirnya, akibat daripada penyalahgunaan dadah ini akan menyebabkan negara terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menyediakan rawatan dan pemulihan penagih dadah, kos kerugian daripada aktiviti jenayah yang berlaku, dan sebagainya.
Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghindari dan menghalang kegiatan penyalahgunaan dadah ini daripada berlaku dan berleluasa. Misalannya, kerajaan boleh memberi hukuman yang berat seperti hukuman penjara 20 tahun dan 15 kali sebatan. Maka dengan adanya hukuman yang berat ini, individu akan takut untuk melakukan kesalahan penyalahgunaan dadah ini. Selain itu, pihak yang berkenaan juga boleh melaksanakan aktiviti berbentuk ilmiah untuk mencegah penyalahgunaan dadah. Contohnya, mengadakan pameran, seminar dan ceramah berkenaan penyalahgunaan dadah. Daripada aktiviti seperti dapat memberi informasi, pengetahuan serta pemahaman kepada masyarakat terutamanya golongan remaja tentang bahaya dadah. Ibubapa juga perlu mengawasi dan bertanggungjawab dalam menjaga anak-anak mereka. Kawalan kastam juga perlu ketat dan melaporkan kegiatan-kegiatan yang mencurigakan kepada pihak yang berkenaan.
Kesimpulannya, dadah ialah ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit tetapi penyalahgunaan dadah telah mengakibatkan ketagihan dan masalah-masalah sosial, kesihatan dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis dadah dan tujuan penggunaan yang berbeza-beza serta memberikan kesan yang hampir sama kepada penagihnya. Statistik menunjukan golongan yang paling tinggi dalam kes penyalahgunaan dadah ini adalah golongan belia yang disebabkan oleh beberapa faktor. Penyalahgunaan dadah bukan sahaja memberi kesan kepada diri individu itu sendiri bahkan ia juga memberi kesan kepada keluarga penagih, masyarakat dan negara. Pihak-pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini.  

No comments:

Post a Comment